ANGGOTA bomba menjalankan kerja pembersihan tumpahan raksa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan kerja pembersihan tumpahan raksa. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Tiga pesakit dan lima kakitangan terpaksa dipindahkan sementara susulan tumpahan raksa di wad wanita Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 11 pagi daripada pekerja hospital.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di hospital lapan minit kemudian mendapati berlaku tumpahan dianggarkan sebanyak 5 mililiter (ml) di lantai wad wanita berkenaan.

"Bomba terima panggilan daripada staf hospital memaklumkan satu alat termometer menggandungi merkuri terjatuh dan pecah.

"Pemeriksaan mendapati tumpahan merkuri sebanyak 5ml dalam wad wanita itu berpunca daripada alat suhu termometer yang terjatuh di lantai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, susulan itu tiga pesakit dan lima kakitangan hospital di wad berkenaan terpaksa dipindahkan sementara kerja-kerja pengumpulan dan pembersihan bahan yang tertumpah itu dijalankan.

"Bomba membuat operasi pembersihan menggunakan sulfur untuk mengesan dan mengumpul merkuri terbabit.

"Operasi tamat pada 11.40 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 3:44 PM