MURSI
MURSI
Agensi

Kaherah: Sebuah mahkamah rayuan semalam menterbalikkan hukuman mati terhadap bekas Presiden Mohamed Mursi dalam satu daripada empat perbicaraan sejak dia digulingkan pada 2013.

Mahkamah berkenaan mengarahkan Mursi dibicara semula atas tuduhan mengambil bahagian dalam kejadian lari dari penjara dan keganasan terhadap polis ketika kebangkitan rakyat Mesir pada 2011 yang akhirnya menggulingkan presiden ketika itu, Hosni Mubarak.

Lima orang yang dituduh bersamanya, termasuk pemimpin spiritual Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie, yang turut dihukum mati pada Jun 2015, juga akan dibicarakan semula.

Hampir 100 yang lain yang dibicarakan tanpa kehadiran mereka tidak termasuk dalam keputusan mahkamah berkenaan.

Bulan lalu, mahkamah sama mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Mursi dalam perbicaraan lain yang membabitkan tuduhan dia menggunakan kekerasan hingga membawa maut terhadap penunjuk perasaan ketika dia menjadi presiden.

Mursi juga dihukum penjara seumur hidup dalam dua kes lain.

Satu daripadanya, dia didapati bersalah mengintip untuk Iran, kumpulan Hizbullah Lubnan dan pergerakan Hamas Palestin.

Satu lagi, dia didapati bersalah mencuri dokumen berkait dengan keselamatan kebangsaan dan menyerahkannya kepada Qatar, negara yang sekian lama menyokong Ikhwan.

Mursi ialah presiden pertama yang dipilih melalui pilihan raya selepas kejatuhan Hosni.

Dia digulingkan dalam rampasan kuasa yang diketuai ketua tentera dan kini presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berikutan tunjuk perasaan jalanan besar-besaran.

Sejak itu Ikhwan diharamkan dan ratusan anggotanya dibunuh dan ribuan lagi dipenjarakan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:45 AM