ORANG ramai berhimpun menyaksikan ‘supermoon’ di Balg Hill, Sydney. - EPA
ORANG ramai berhimpun menyaksikan ‘supermoon’ di Balg Hill, Sydney. - EPA
Agensi

Sydney: Fenomena bulan penuh ‘supermoon’ terbesar dalam tempoh 68 tahun dilihat di Australia dan Asia malam tadi yang dinanti-nantikan ahli astronomi di seluruh dunia.

Pengkaji bintang dan orang ramai mencari bangunan tinggi, pantai serta kubu lama dalam usaha mendapat pemandangan terbaik fenomena berkenaan, yang berlaku apabila bulan mengambang pada masa sama atau berhampiran kedudukan paling rapat dengan Bumi.

Dalam keadaan cuaca baik, ia dapat dilihat selepas matahari terbenam, semalam.

NASA berkata fenomena kali ini luar biasa kerana bulan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi sejak 1948. Fenomena seumpamanya seperti itu dijangka berlaku pada 2034.

Ribuan orang mengerumuni pantai Bronte di Sydney untuk melihat bulan tetapi kecewa kerana langit ditutupi awan, lapor akhbar Sydney Morning Herald.

Bagaimanapun, orang ramai di Queensland dan barat Australia lebih bernasib baik apabila berjaya menyaksikan keindahan fenomena itu.

Jurugambar amatur, keluarga dan peminat astronomi juga berebut mencari kedudukan terbaik di Mount Coot-tha, Brisbane.

Di Hong Kong, penduduk di pusat bandarnya berkelah beramai-ramai untuk menyaksikan bulan terbit di ruang udara hab perniagaan itu.

Pada masa sama, pencinta alam menyaksikannya di kawasan pedalaman untuk menikmatinya sepenuhnya dalam keadaan pencemaran cahaya kurang berlaku.

Bangunan pencakar langit Taipei 101 di Taiwan - antara bangunan tertinggi dunia - juga membenarkan orang ramai masuk untuk menyaksikan fenomena itu.

Ahli astronomi menjangka ‘supermoon’ itu yang terbesar dilihat di pulau berkenaan sejak hampir 100 tahun lalu.

Selain itu, acara khas dianjurkan kumpulan astronomi termasuk anggota sebuah kumpulan di Yogyakarta, Indonesia, menggunakan bumbung ibu pejabatnya untuk tujuan itu.

Ahli astronomi juga bersedia di balai-balai cerap di seluruh rantau untuk menjelaskan fenomena itu kepada orang awam.

Pegawai astronomi Filipina, Mario Raymundo berkata: “Kami menerima panggilan ramai pelajar yang mahu mengetahui lebih lanjut dan datang melihatnya di sini.”

Golongan peluncur air juga teruja dengan fenomena ‘supermoon’ itu kerana dijangka turut membawa ombak kuat yang menambah keseronokan meluncur pada waktu malam.

Ombak kuat dijangka lebih tinggi daripada biasa di Bali - antara lokasi paling digemari golongan itu.

Sementara itu, di Thailand, pakar astrologi membuat pelbagai tilikan meramalkan tuah atau bencana yang bakal dibawa ‘supermoon.’

Soraja Nuan-yoo - yang meramalkan tsunami berlaku pada 2004 - berkata, kedudukan bulan yang begitu rapat dengan bumi pasti membawa bencana alam.

Di Britain, pakar kaji cuaca berkata, tempat terbaik melihat fenomena itu adalah di timur Scotland, timur laut England, timur laut Wales atau timur Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 8:08 AM