AFDLIN terpanggil jayakan kempen.
AFDLIN terpanggil jayakan kempen.
BARISAN selebriti yang terbabit dalam kempen #Peace4Yemen.
BARISAN selebriti yang terbabit dalam kempen #Peace4Yemen.
Nor Akmar Samudin


Dalam kegelisahan rakyat negara ini berdepan kenaikan harga pelbagai barangan, ada lagi masyarakat yang lebih menderita dengan mengharapkan bantuan daripada pihak lain untuk meneruskan kehidupan mereka.

Yaman antara negara yang amat memerlukan bantuan dan peperangan dihadapi sukar untuk mereka membina semula hidup baru.

Lantaran itu, Muslim Care Malaysia (MCM) bersama artis tempatan melancarkan Kempen dan Misi Kemanusiaan buat Yaman #Peace4Yemen.

Umum tahu peperangan yang berlaku di negara itu, namun, tidak ramai yang mengetahui betapa menderita dan sengsara penduduk di sana sehinggakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan isu di Yaman adalah ‘isu yang tidak didendang’.

Menurut Presiden Muslim Care Malaysia Society Zulkifli Wahijan, isu di Yaman kian memuncak menandakan semakin sukar untuk negara itu mencapai keamanan ekoran peperangan yang tercetus pada Mac 2015.

“Isu kesihatan dan makanan semakin meruncing. Kanak-kanak diancam wabak, penduduk hilang tempat berteduh dengan bangunan seperti sekolah, hospital, masjid dan rumah musnah sama sekali.

“Justeru, kami terpanggil untuk membantu rakyat Yaman menerusi kempen #Peace4Yemen. Sejak MCM ditubuhkan kami beroperasi dengan membantu tanpa batas negara, bangsa dan agama sesuai dengan moto kami ‘Misi Bantuan Kemanusiaan Tanpa Sempadan’.

“Kesengsaraan umat Islam di dalam dan luar negara akan kami usahakan untuk membantu kadar kemampuan yang ada,” katanya.

Kata Zulkifli lagi, seperti misi sebelum ini yang membabitkan negara Timur Tengah sekali gus untuk membina kesedaran di kalangan rakyat untuk turut membantu, MCM berkerjasama dengan artis terkemuka tempatan.

Antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Afdlin Shauki, Erra Fazira, Salima Habibi, Heliza Helmi, Hafiz Hamidun, Yatt Hamzah, Adam Corrie, UNIC, Hazwani Helmi, Hijjaz, Zain Saidin, Aziz M Osman, Diana Amir, Johan, Zizan, Emma Maembong, Altimet, Lan Kristal dan Fizo Omar.

“Dengan ‘kuasa’ sebagai selebriti diharapkan artis itu boleh mengajak seluruh masyarakat menghulurkan bantuan. Menerusi kempen ini, MCM menyasarkan mengumpul RM1 juta untuk dibawa ke sana pada Februari tahun depan. Untuk mencari wang sebanyak itu, kami merancang pelbagai aktiviti seperti mengadakan konsert dan jualan ‘car boot’. Kami juga perlukan sumbangan daripada GLC dan syarikat korporat,” katanya.

Data yang diperoleh daripada PBB, lebih 10,000 rakyat Yaman terbunuh, 30,000 hilang tempat tinggal, 19 juta putus bekalan air bersih dan hampir 15 juta rakyat gagal dirawat dengan betul. Manakala lebih 1.8 juta kanak-kanak diancam pelbagai wabak termasuk kekurangan nutrisi dan peperangan. Jumlah itu lebih besar daripada mana-mana negara Arab lain yang bergolak.

Kepada yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan di bank-bank berikut atas nama akaun ‘Muslim Care Malaysia :

• Maybank : 5644 9041 3882.

• BIMB : 140 140 1014 7470.

• Bank Muamalat : 140 1000 7654 717.

Mohon WhatsApp info sumbangan dan salinan slip transaksi ke talian 012-6935938 (Zakaria) atau 016-9978323 (Johari).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 9:51 AM