Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dipandunya di Kampung Keda Wang Tok Rendong, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dipandunya di Kampung Keda Wang Tok Rendong, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman

Langkawi: Pemuda berusia 20 tahun parah selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kampung Keda Wang Tok Rendong di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang belum dikenali ditemui dalam keadaan separuh sedar dipercayai cedera parah selepas tersepit dalam kereta Honda Civic dipandunya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi Pegawai Bomba Kanan II Sofian Salleh, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 pagi.

 

"Sejurus itu, sepasukan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian dengan jentera pertama tiba pada jam 7.50 pagi.

"Sebaik tiba, bomba mendapati seorang lelaki tersepit pada bahagian pemandu dalam keadaan separuh sedar selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sofian berkata, mangsa dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans dan operasi ditamatkan pada jam 8.42 pagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:14 AM