YEW Sin (kanan), Ee Yi atasi pasangan nombor satu Jerman.
YEW Sin (kanan), Ee Yi atasi pasangan nombor satu Jerman.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad badminton remaja negara gagal mengulangi kejayaan 2011 pada Kejohanan Remaja Dunia apabila tumpas 0-3 kepada China pada final acara berpasukan campuran di Bilbao, Sepanyol semalam.

Ia kali kedua Malaysia muncul naib juara dalam perebutan Piala Suhandinata apabila mereka meraih kedudukan sama pada 2009 dan pernah menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali (2006, 2008 dan 2010).

Malaysia gagal meraih mata sulung dalam aksi beregu campuran apabila pasangan Chen Tang Jie-M Thinaah tumpas 21-17, 13-21, 12-21 kepada He Jiting-Du Yue.

Hasrat skuad remaja negara untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila perseorangan lelaki Leong Jun Hai kalah kepada Sun Feixiang 15-21, 13-21 dalam tempoh 40 minit.

Penyandang juara remaja dunia, Goh Jin Wei cuba menyelamatkan maruah negara namun terpaksa akur dengan kehebatan Chen Yufei selepas tumpas 20-22, 21-14, 8-21 dalam masa lebih sejam.

Kali terakhir Malaysia muncul juara bagi acara berpasukan campuran pada 2011, yang mana ketika itu Zulfadli Zulkiffli berjaya meraih emas acara perseorangan lelaki, manakala Nelson Heg Weai Keat-Teo Ee Yi turut cemerlang dalam beregu lelaki.

Selepas ini, semua pemain negara akan berentap bagi acara individu (perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, wanita serta campuran) yang bermula hari ini hingga 13 November.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya meraih gelaran sulung Grand Prix Emas apabila muncul juara Terbuka Bitburger mengalahkan pasangan tuan rumah, Michael Fuchs-Johannes Schoettler semalam.

Yew Sin-Ee Yi menang 21-16, 21-18 dalam perlawanan selama 40 minit di Saarbrucken.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:57 AM