Zainol memusnahkan komputer judi dalam talian yang dirampas IPD Dang Wangi. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Zainol memusnahkan komputer judi dalam talian yang dirampas IPD Dang Wangi. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,140 komputer judi dalam talian dianggarkan bernilai RM3.5 juta dirampas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Dang Wangi dari 2010 hingga 2015.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya menjalankan sebanyak 171 serbuan terhadap premis judi internet dalam Operasi Dadu (Ops Dadu) sepanjang tempoh berkenaan.

"Hasil siasatan yang dijalankan, 171 kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Daripada jumlah itu, 131 kes sudah dibawa ke mahkamah, manakala 41 lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya pada sidang media di Majlis Perlupusan Barang Rampasan Komputer Judi di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Zainol berkata, semua barangan rampasan itu sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan mengikut Seksyen 16A (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kami tidak akan berkompromi terhadap kegiatan judi dengan menjalankan operasi secara berterusan dari masa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 2:26 PM