MOTIF corak lebih menarik digayakan bersama baju polos.
MOTIF corak lebih menarik digayakan bersama baju polos.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Selendang dan tudung, selain menutup rambut dan bahagian dada, juga menjadi penyeri kepada penampilan wanita.

Kini, pemakaian tudung atau selendang bertambah mudah kerana tidak perlu mengambil masa lama untuk mencipta lilitan menarik dan kemas.

Bukan itu saja, selendang atau tudung perlu tampak senada dengan pakaian digayakan bagi menyempurnakan penampilan terutama bagi wanita berkerjaya.

Pengasas dan pemilik Maira Collections Noraini A Rani berkata, dia melihat pasaran untuk pakaian Muslimah semakin luas seiring dengan penerapan nilai Islam di negara ini.

"Kami memilih konsep yang mudah disuai padan, pada masa sama ringkas, tetapi elegan. Justeru, kami menyasarkan koleksi ini buat wanita berkerjaya yang mementingkan

penampilan kemas dan menarik.

"Bagi koleksi terkini, kami menampilkan rekaan terbaru yang mengetengahkan konsep selendang segera dengan warna ceria. Walaupun selendang segera ini ditampilkan dalam rona ceria, ia mudah disuai padan dengan pakaian.

"Malah, cara memakainya juga mudah. Anda hanya perlu sarungkan dan bahagian selendang yang lebih panjang ditarik ke atas sebelum dipinkan di atas kepala mengikut keselesaan masing-masing," katanya.

Butik yang mula dibuka pada akhir 2008 itu juga menampilkan 11 warna berbeza untuk memberi pilihan pelbagai kepada si pemakai.

Katanya, helaian koleksi yang diberi nama Instant Shawl Maira Hanna itu tampak menarik kerana kombinasi warna yang dipilih, sekali gus memudahkan pemakai memadankannya dengan pakaian yang digayakan.

Material yang digunakan ialah sifon yang dijahit secara dua lapisan supaya ia tidak keliharan jarang manakala bahagian sengkuap selendang dijahit menggunakan fabrik sutera mentah jaquard yang tahan lasak.

Saiz selendang bermula S hingga XXL dengan ukuran lebar dan panjang bermula dari bahagian dagu ke dada dengan harga bermula RM90 ke atas mengikut saiz berbeza.

Setiap helaian yang ditampilkan kali ini berbeza dengan sebelumnya kerana ia diketengahkan dengan gabungan dwiwarna yang menarik perhatian bersama jahitan kemas.

Menariknya, setiap pelanggan juga boleh memilih kombinasi corak dan polos atau polos saja mengikut cita rasa. Deretan helaian selendang segera ini sesuai digayakan wanita berusia 20 tahun ke atas.

Kini, pelanggannya bukan hanya terdiri daripada penduduk tempatan, malah koleksi tudung dan selendangnya itu menembusi pasaran Brunei, Singapura dan Timur Tengah.

Pelanggan boleh mendapatkan pelbagai koleksi pilihan sama ada berkunjung ke butiknya di Subang Jaya atau secara dalam talian melalui Facebook.

Tambah Noraini, sehingga ke hari ini jenama berkenaan berjaya menjual purata 1,000 tudung dalam tempoh sebulan dan angka itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

Terima kasih: www.mairacollections.comW

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:21 AM