AHOK
AHOK

Jakarta: Polis Indonesia semalam mengambil keterangan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang dituduh menghina agama Islam apabila memetik ayat al-Quran dalam satu ucapannya baru-baru ini.

Jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata, Basuki atau dikenali sebagai Ahok bersama 10 lagi saksi memberi keterangan pada pagi semalam.

Menurutnya, sehingga kini ada lapan laporan polis yang dibuat terhadap Ahok berhubung ucapannya yang dibuat di Pulau Seribu baru-baru ini.

“Selepas meneliti keterangan dan bukti, polis akan meminta pendapat pakar dalam bidang agama Islam dan bahasa sebelum sebarang tindakan diambil.

“Keterangan daripada ahli dalam bidang agama Islam dan bahasa ini penting untuk melengkapkan siasatan,” katanya seperti dilapor Kompas.com.

Ahok sebelum ini mencetuskan kemarahan penduduk Islam apabila memetik satu ayat al-Quran ketika kempen pilihan rayanya.

Bagaimanapun, Ahok menafikan dia sengaja mahu menghina agama Islam dan dia meminta maaf secara terbuka.

Ribuan anggota pelbagai pertubuhan Islam di Indonesia berarak di Jakarta baru-baru ini bagi mendesak Ahok berundur susulan kontroversi itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 10:15 AM