TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh tukang rumah, 7 Oktober lalu.

Tertuduh, K Parthiban, 44, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian dengan niat terhadap tukang rumah, Anuar Abd Shokor , 50, di Jalan Flora 3, Taman Flora, di sini, 6.10 pagi, 7 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan forensik serta kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 22 November ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 4:51 PM