KERETA bugi klasik membawa pengunjung meronda di sekitar sawah padi.
KERETA bugi klasik membawa pengunjung meronda di sekitar sawah padi.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
BASIKAL antik dan lampu lama antara barangan yang digunakan petani satu ketika dulu.
Suliati Asri


Pemandangan sawah yang menghijau pagi itu cukup mendamaikan. Kedinginan dirasai dek saki-baki hujan yang membasahi bumi bertuah ini mencetuskan suasana dingin.

Damai! Itu yang dirasai saat melihat pokok padi tumbuh subur dan menghijau di petak sawah. Terus hilang trauma dirasai penulis selepas terbabit kemalangan kecil saat memandu ke Sekinchan, Selangor.

Pokok padi yang tumbuh sama rata bagaikan hamparan permaidani.

Ternyata, bukan hanya penulis beranggapan seperti itu, malah ahli rombongan Fam Trip Ke Sungai Besar Bersama Penggiat Industri juga sependapat.

Menjadikan Sekinchan sebagai lokasi pertama dilawati bersama Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, keindahan yang disajikan benar-benar mencetuskan kedamaian.

Digelar Jelapang Padi Selangor, Sekinchan bukan sahaja terkenal dengan sawah padi, tetapi juga kaya dengan hasil bumi lain termasuk buah-buahan, sayuran selain menjadi lokasi penting hasil laut.

Bagan Sekinchan juga perkampungan nelayan kedua terbesar di daerah Sabak Bernam.

Tidak hairanlah Sekinchan kini menjadi lokasi pelancong dari ibu kota untuk menenangkan fikiran terutama pada hujung minggu, selain membebaskan diri daripada hutan konkrit. Malah, ia turut menjadi pilihan pelancong asing kerana menawarkan lokasi percutian menarik dan mendamaikan.

Memulakan lawatan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Tourism Malaysia Selangor itu ialah Muzium Padi atau Pusat Maklumat Pertanian Padi di Jalan Tali Air 5, Ban 2, Sekinchan.

Di sini kami dapat melihat aktiviti memproses padi menjadi beras bermula daripada menanam benih hingga ia siap dipasarkan.

Muzium ini sebenarnya kilang padi milik PLS Marketing (M) Sdn Bhd yang menyediakan ruangan khas mempamerkan cara menanam dan memproses padi kepada pengunjung.

Kami turut pertontonkan video pendek mengenai cara lama dan baru menanam padi yang digunakan secara meluas di seluruh negara.

Selain itu, pelbagai peralatan lama pesawah turut dipamerkan seperti orang-orang, penampi padi dan lesung padi.

Di tingkat bawah bangunan, kedai cenderamata turut menjual pelbagai jenis beras tempatan dan import. Produk diperbuat daripada beras juga dijual seperti keropok beras.

Rice Cafe pula menyajikan hidangan pencuci mulut berasaskan beras yang cukup enak. Bubur beras perang antara menu yang anda perlu cuba di sini.

Kami seterusnya dibawa bersiar di sekitar sawah dengan menaiki kereta bugi (buggy) yang diubah suai sehingga kelihatan seperti kereta klasik sesuai dengan nama perkhidmatannya, Sekinchan Classic Car Paddy Tour.

Mula beroperasi awal tahun lalu, dengan hanya mengenakan bayaran RM5, pengunjung dibawa mengelilingi kawasan sawah yang luas dan cukup mengujakan.

Beroperasi hanya pada Sabtu, Ahad dan cuti umum serta berdasarkan tempahan, pemilik kereta bugi klasik ini, Yan Jing Yuan berkata, dia mempunyai enam kenderaan itu untuk membawa pengunjung.

“Pengunjung dibawa menaiki kereta ini sekitar 20 minit. Jika ingin perjalanan lebih jauh dan mengunjungi kawasan tarikan di kawasan ini termasuk Muzium Padi, bayaran tambahan akan dikenakan,” katanya.

Menurut Yan, kereta bugi klasiknya diimport dari China dan menggunakan bateri untuk digerakkan.

Menaiki kereta bugi mengelilingi sawah menghijau mencetuskan suasana mendamaikan. Tenang rasanya apabila disapa angin sepoi-sepoi bahasa.

Sebelum meninggalkan Sekinchan, anda tidak seharusnya melepaskan peluang mengunjungi Ah Ma House.

Terletak hanya bersebelahan Sekinchan Classic Car Paddy Tour, memasuki ruang kedai lama ini bagai membawa pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak.

Mana tidaknya, di pintu masuk kedai sudah tersusun makanan, gula-gula dan permainan yang biasa penulis makan ketika zaman kanak-kanak dulu.

Ah Ma House sebenarnya kedai roti yang menjual biskut tradisional dan kek. Kuih tart nenas, kuih bangkit dan kuih kapit antara yang dijual di sini. Menariknya, ia turut menjual pelbagai barangan antik.

Sebenarnya banyak lagi lokasi menarik boleh dikunjungi di sekitar Sekinchan. Penginapan pula tiada masalah kerana banyak hotel di sekitar bandar manakala ramai penduduk kampung menyediakan inap desa (homestay) untuk pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:02 AM