GRAND Hotel.
GRAND Hotel.
PEMANDANGAN di Yangmingshan.
PEMANDANGAN di Yangmingshan.
Hidayatul Akmal Ahmad


Ketika mendapat tugasan ke Taiwan, penulis berbelah bahagi sama ada mahu terima atau tidak. Mana tidaknya tarikh berkenaan adalah sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha. Jika terima, bermakna ini adalah kali pertama beraya di perantauan tanpa keluarga tercinta.

Tetapi jika ditolak belum tentu penulis berpeluang menjejakkan kaki ke Taiwan kerana tidak pernah ada dalam senarai negara untuk dilawati. Selepas berfikir dan mendapat persetujuan keluarga, penulis bersama 10 rakan media berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seawal jam 4.30 pagi.

Selepas empat jam penerbangan, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuen Taipei sempena Malindo First Flight Media Fam Trip.

Setibanya di sana, kami disambut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air, Chandran Rama Muthy sebelum meneruskan ‘misi’ jelajah Taipei.

Dalam ucapan ringkasnya, Chandran meletak sasaran menambah sehingga 25,000 pelancong Taiwan ke Malaysia menjelang September tahun depan, bagi penerbangan terus sektor Kuala Lumpur-Taipei.

Pemandu pelancong dikenali sebagai Michelle bertanggungjawab menceritakan asal usul dan sejarah negara bekas jajahan Jepun itu.

Menurut Michelle, Taiwan adalah jajahan Jepun pada 1895-1945, selepas kekalahan teruk dinasti Qing dalam Perang China-Jepun Pertama. Selepas kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, Taiwan diberikan kepada tentera Perikatan dan diduduki oleh Republik China.

Menaiki sebuah bas, kami menyelusuri per­jalanan untuk makan tengah hari di restoran Arab Khana Khazana milik warga Pakistan yang menetap lebih 20 tahun di Xinyi District Taipei.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Taipei Grand Mosque di Xing Sheng South Road Da’an District. Ia masjid terbesar dan popular dalam kalangan penduduk Islam di Taipei.

Antara pemimpin negara pernah mengunjungi masjid itu ialah Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman; Raja Hussein dari Jordan dan pemimpin Islam lain. Seterusnya kami dibawa ke Shin ho Handmade Creation yang menjual pelbagai jenis cenderahati selain pelanggan boleh membuat sendiri (DIY).

Tidak lengkap sesebuah perjalanan di negara asing jika tidak merasai makanan tradisi masyarakat Taiwan. Kami dibawa menikmati Chang beef noodle iaitu mi tarik yang dimakan bersama sup dan bebola daging sebelum menamatkan perjalanan seharian di City Suits Taipei Nandong.

Hari kedua di bandar Taipei, kami dibawa ke Taman Negara Yangmingshan terletak di utara Beitou. Dipanggil Caoshan (rumput gunung) ketika pendudukan Jepun di Taiwan, kerana ia ditutup dengan rumput dan jarang dikunjungi.

Menyaksikan pemandangan indah di Yangmingshan, penulis teringat Kundasang di Sabah. Hamparan rumput dan pokok hijau membuatkan penulis tenang di samping cuaca yang selesa.

Taman Negara Yangmingshan satu-satunya taman di Taiwan yang mempunyai gunung berapi dan mata air panas. Ia terletak di sebelah gunung Shamao dan gunung Qixing dengan gunung Datun di sebelah kanan serta gunung Guanyin di hadapan.

Berkeluasan 125 hektar yang direka dengan gaya tradisional Cina. Keindahan semula jadi membuatkan Yangmingshan dikenali sebagai hutan bandar dan taman Taipei.

Di sini juga menjadi tumpuan pengunjung yang meminati sukan memanjat gunung dan antara lokasi yang paling popular di Taiwan.

Disebabkan kekangan masa, penulis dan rakan media lain terpaksa melupakan hasrat untuk ‘menjamu mata’ lebih lama.

Pengunjung yang mahu berkunjung ke Taiwan tidak perlu risau mengenai makanan halal kerana ada restoran serta hotel menyediakan perkhidmatan mesra Muslim misalnya Atami dan Grand Hotel.

Uniknya, di Grand Hotel disediakan arah kiblat, sejadah, tasbih serta al-Quran. Penulis dimaklumkan Grand Hotel menjadi persinggahan golongan ternama seperti Margaret Thatcher, Barack Obama dan Nelson Mandela.

Empat hari berada di Taiwan sememangnya tidak cukup untuk penulis serta rakan media lain.

Tetapi seperti kata pepatah ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.’

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:01 AM