Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli bersedia menyahut seruan untuk mengatasi jarak lontaran 17 meter tahun depan.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio kategori T20 (masalah pembelajaran) berkenaan menjelaskan, dia akan berusaha lebih keras bagi merealisasikan hasrat itu.

Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka mahu atlet berusia 26 tahun itu mencapai jarak melebihi 17 meter dan Ziyad pantas menganggap saranan itu sebagai satu cabaran buat dirinya.

“Sebenarnya saya pernah capai jarak 17.12 meter semasa bertanding di Jerman namun saya fikir beliau mahu saya mencapai sehingga 17.3 atau 17.4 meter.

“Saya akan berusaha dan berlatih dengan lebih keras kerana saya turut mempunyai sasaran tersendiri tahun depan iaitu layak secara merit ke Sukan SEA serta menghadapi Kejohanan Dunia,” tambahnya.

Jarak minimum untuk layak ke Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung Ogos tahun depan adalah 17.05 meter.

Jelasnya, sukar bagi dirinya untuk menetapkan tempoh masa bagi menambah jarak lontaran yang mampu dilakukannya.

“Jarak 17.12 meter yang saya lakukan di Jerman, Julai lalu itu mengambil masa sembilan hingga 10 bulan untuk direalisasikan iaitu kira-kira sebulan sebelum saya ke Rio,” jelasnya.

Di Rio, Ziyad melakukan lontaran sejauh 16.84 meter untuk meraih pingat emas dan dia juga memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam laluannya bergelar juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 10:52 AM