PATI yang ditahan. FOTO ihsan PPM
PATI yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Siraj Mohd Zaini

 

[email protected]

 

Tanjong Karang: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang ingin memasuki negara ini ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Kuala Sungai Bagan Tengkorak, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, sebuah bot pom-pom yang membawa mereka terkandas di atas beting sungai berkenaan manakala tekong bot berkenaan berjaya melarikan diri.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Asisten Supritendan Mohd. Rohaizad Mohd Nasir berkata, semua PATI berkenaan yang berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun itu ditahan kerana dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.

"Sebuah bot pom-pom dipercayai dari Indonesia ditahan sepasukan anggota PPM ketika penugasan Op Landai di perairan negara ini.

"Mereka dibawa ke Jeti Nelayan Bagan Pasir untuk tindakan selanjutnya termasuk proses dokumentasi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas bot berkenaan yang dianggarkan bernilai RM70,000 untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia mengikut laluan yang tidak diwartakan dan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 2:52 PM