AKTIVITI kanak-kanak tempatan pada sebelah petang diisi bermain kriket.
AKTIVITI kanak-kanak tempatan pada sebelah petang diisi bermain kriket.
PEMUDA tempatan bersiap memasang bendera perhiasan menyambut Dalai Lama di Leh Bazaar.
PEMUDA tempatan bersiap memasang bendera perhiasan menyambut Dalai Lama di Leh Bazaar.
Hafiz Ithnin


Dua jam penerbangan dari New Delhi ke Leh sejujurnya sudah bermain teori dengan pemandangan biasa di bahagian utara di sesebuah negara di mana terletaknya Banjaran Himalaya; gunung-ganang diselaputi salji di atasnya, wajah etnik campuran hasil terangkuman genetik manusia dari negara berbeza dan yang paling pasti persekitarannya dingin.

Namun, secara peribadi, tidak mahu terlalu bermain askara ini sepenuhnya mengenai kecantikan panorama ciptaan Tuhan yang satu itu. Sememangnya tiada lensa kamera mampu menerangkan keindahan setiap inci pesonanya melainkan anda merasai pengalaman itu sendiri.

Telahan penulis tepat kerana sebaik tiba di Lapangan Terbang Kushok Bakula Rimpoche kelihatan lapisan gunung yang berwarna tanah dan di atasnya awan putih berkepuk berarak perlahan.

Bagi yang kali pertama melihat panorama itu, pasti galak lensa menembak tepat setiap momen untuk dijadikan kenang-kenangan apabila pulang ke tanah air kelak.

Bukan apa, mungkin sudah berpeluang menatap dan bercerita mengenai perkara itu antaranya pengalaman di Gilgit-Batistan, Pakistan; Xinjiang, China, Sagamartha, Nepal dan di Benua Eropah pula Reykjavik, Iceland yang rasanya lima perenggan pertama penulisan bercerita mengenai kecantikannya saja.

Penjelajahan kecil ini bermula sebaik saja kumpulan pendakian ekspedisi ke Stok Kangri yang disertai pada awal kedatangan di sini pulang ke New Delhi memandang­kan ada antara mereka sudah menempah tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Semestinya itu rancangan penulis untuk tinggal lebih lama di Leh bagi melihat sendiri keunikan yang pastinya ada perbezaan dengan lokasi lain yang pernah dilewati di negara terdapatnya Banjaran Himalaya.

Secara ringkasnya mengenai muka bumi Leh, ia seakan-akan lembah yang berada di dalam sebuah gelas kerana kelilingnya ada pelbagai bukit kecil dan juga biara serta istana lama.

Sudah menjadi kebiasaan, sebaik tiba di sesuatu tempat yang dikelilingi gunung atau bukit pastinya mengambil peluang merakam foto dari kaca mata burung bagi mendapatkan sudut lebih luas.

Memilih untuk berada di Leh Palace menjadi keutamaan memandangkan ia adalah bangunan paling tinggi dan untuk berada di istana yang wujud sejak kurun ke-17 itu perlu mendaki sekitar 15 minit ke sana yang mana lokasi permulaan­nya di Leh Bazaar.

Ketika berada di tingkat paling tinggi di Leh Palace, mata terpana melihat Bandar Leh dengan lebih luas dan tenang menyaksikan setiap pelosok pekan kecil itu yang mempunyai pelbagai reka bentuk bangunan terutama rumah ibadat pelbagai agama.

Semuanya di bawah menjadi logamaya yang menjentik jiwa untuk meneroka bandar kecil ini. Mengenai soal kepecayaan agama di Pekan Leh, difahamkan ia didominasi penganut Buddha, diikuti Hindu dan Islam. Menariknya di sini, ada dua masjid berbeza iaitu masjid Sunni yang dinamakan Jama Masjid dan Syiah, Shia Mosque.

Sebaik masuk waktu solat, azan bergema seluas-luasnya di Leh. Penduduk beragama Islam yang berniaga di Leh Bazaar rata-ratanya meninggalkan premis masing-masing untuk menunaikan ibadat di dalam masjid tidak kira mereka fahaman Sunni mahupun Syiah.

Mengenai Leh Bazaar, ia adalah laluan panjang yang mempunyai deretan kedai lama dan baru. Panjangnya dianggarkan tiga atau empat kilometer. Di sini, pada sebelah petangnya, ada jualan pelbagai jenis sayur-sayuran dan rempah ratus asli oleh penduduk tempatan.

Aktiviti jual beli di sini, menarik kerana mereka masih menggunakan dacing sebagai alat penimbang barang. Dalam suasana orang ramai sibuk menjual beli, kelibat lembu tidak bertuan juga berkeliaran yang kadangkala meng­ganggu penjual kerana haiwan ternakan itu gemar ‘mencuri’ terutama sayur yang dijual.

Penjelajahan kali ini turut berpeluang melihat penduduk di Bandar Leh, membuat persediaan menyambut kehadiran Ketua Buddha Tibet, Dalai Lama yang dianggap antara ikon keharmonian di sini.

Van bersama pembesar suara juga bergema memberitahu orang ramai kehadiran ketua agama itu di Leh dan ketika berada di hostel milik seorang beragama Islam yang mana pekerjanya adalah Buddha, dia memberitahu bahawa pekerjanya cuti separuh hari untuk menyambut kehadiran Dalai Lama di lapangan terbang.

Sepanjang jalan di Leh Bazaar dibersihkan dan mana yang masih dalam pembinaan ditutup rapi supaya laluan itu nampak kemas. Pekerja juga kelihatan sibuk memasang bendera berwarna-warni yang melintang di antara bangunan.

Kebanyakan bangunan di sini juga memasang kain rentang dengan ayat menyambut baik kehadiran Dalai Lama termasuk di Jama Masjid dan penulis sangsi mengenai hal itu.

Ketika lalu di Jama Masjid, sempat juga penulis bertanya kepada seorang penduduk Islam mengenai pandangannya menyambut kehadiran Dalai Lama di rumah ibadat yang berbeza. Jawapan padat dan jelas buat saya.

“Dia datang untuk keharmonian dan bukan untuk memesongkan kami. Mengapa kami (yang beragama Islam) perlu membencinya?” jelasnya lembut ber serta senyuman.

Sememangnya penulis kagum dengan penduduk di sini, mereka hidup dalam pelbagai fahaman agama. Setiap kali berada di Leh Bazaar, kelihatan sami berbaju merah dan masyarakat Islam berkurta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun, sedikit ralat pada penjelajahan kali ini kerana tidak berkesempatan melihat sambutan ketibaan Dalai Lama di Leh memandangkan pada hari ketibaannya, awal-awal pagi lagi sudah bertolak ke New Delhi untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Apa pun, secara peribadi, Leh adalah bandar unik yang bukan saja kerana pesona pemandangan alamnya malah, penduduknya yang pelbagai fahaman agama turut menambah keindahan dunia di utara India itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:05 AM