BERANDA sebagai tempat berehat atau bersantai.
BERANDA sebagai tempat berehat atau bersantai.
REPLIKA rumah peneroka yang menarik perhatian sesiapa saja.
REPLIKA rumah peneroka yang menarik perhatian sesiapa saja.
REKA letak rumah ini di persimpangan jalan.
REKA letak rumah ini di persimpangan jalan.
JAMALUDIN.
JAMALUDIN.
Rosman Shamsudin


Replika rumah asal peneroka FELDA ini bukan sahaja unik, malah menggamit nostalgia warganya satu ketika dulu.

Terletak di persimpangan jalan FELDA Trolak Selatan menuju ke FELDA Trolak Timur, Sungkai, Perak, ia menceritakan zaman awal pembukaan tanah rancangan berkenaan.

Pembinaan replika itu diharap dapat menyedarkan generasi muda betapa sukar peneroka dulu membangunkan kawasan itu untuk meningkatkan ekonomi keluarga hingga mampu mengubah landskap persekitaran bagi menikmati kehidupan lebih sempurna.Ia menampilkan binaan sebenar rumah peneroka menggunakan kayu dan papan sebagai bahan asas pembinaan terutama pada dinding, tiang dan lantai.

Sementara bumbungnya pula beratap genting yang disusun secara menegak untuk memudahkan pengaliran air ketika hujan.

Dulu, setiap rumah mempunyai tingkap dikenali sebagai tingkap kepak yang boleh dibuka dan ditutup.

Selain itu, ia mempunyai penyelak sebagai kunci bagi mengelakkan dimasuki pencuri atau binatang buas.

Pada bahagian tiang diletakkan pelapik batu untuk meninggikan rumah kerana pada awal penerokaan hutan untuk dijadikan ladang kelapa sawit, kebanyakan kawasan itu dihuni binatang buas yang boleh mengancam keselamatan peneroka.

Bahagian depan rumah mempunyai beranda iaitu tempat peneroka berehat dan bersantai pada waktu lapang dan di depan beranda ada tangga kayu.

Rumah itu hanya ada sebuah bilik dan ruang tamu yang agak sempit menghubungkan kawasan dapur.

Bahagian dapurnya pula mempunyai anjung kecil untuk memudahkan peneroka menyusun barangan peralatan dapur.

Dekorasi bahagian dalam rumah replika ini diterjemahkan semula dengan susunan barang dalam rumah milik peneroka menyebabkan suasana dalamannya benar-benar mengimbau nostalgia.

Seterusnya pembinaan landskap di sekitar rumah replika ini secara tersusun dan dijaga dengan rapi.

Pokok hiasan yang ditanam dalam pasu menimbulkan suasana ceria, menarik dan sering kali mencuri tumpuan pengguna jalan itu untuk singgah sambil bergambar sebagai kenangan.

Peneroka yang berasal dari Taiping dan menyertai tanah rancangan itu pada tahun 1986, Jamaludin Mat, 61, berkata, idea membina replika rumah itu memang kreatif kerana ia mampu menggamit memori golongan peneroka ketika meneroka kawasan itu untuk ditanam kelapa sawit.

“Ketika itu beginilah keadaan rumah peneroka yang sempit. Berbanding rumah sekarang memang jauh berbeza disebabkan usaha kerajaan membangunkan FELDA hingga terkenal di persada dunia,” katanya.

Menurut Jamaludin, generasi muda tidak merasai jerih perih dan pahit maung dihadapi peneroka asal.

“Segala yang mereka nikmati hari ini hasil perjuangan dan pengorbanan peneroka terdahulu dan seharusnya terus dihargai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 5:45 AM