Manila: Filipina bercadang membeli dua frigat, dua helikopter dan tiga bot laju untuk ditempatkan di kawasan perairan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Pegawai Tentera Laut Filipina berkata, kelengkapan tambahan itu diperlukan untuk mengukuhkan kawalan di kawasan berkenaan.

Ketua Sistem Persenjataan Tentera Laut Filipina, Caesar Taccad berkata, perkembangan di Laut Filipina Barat menimbulkan keperluan pihaknya meningkatkan kemudahan operasi.

Perairan kontroversi di Laut China Selatan itu menjadi rebutan antara Filipina, China, Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan.

Ketegangan antara Manila - Beijing menjadi lebih ketara sejak Jun 2012 apabila China menduduki kawasan beting yang dipercayai kaya dengan sumber minyak, gas dan ikan.

Filipina melaksanakan pelan pemodenan untuk pasukan keselamatan maritimnya dengan memperuntukkan 90 bilion peso (RM6.9 bilio) sepanjang tempoh 15 tahun. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:07 AM