ARHAM Syafiq memasak Char Kuetiau Tsunami yang dipesan pelanggan.
ARHAM Syafiq memasak Char Kuetiau Tsunami yang dipesan pelanggan.
PELANGGAN datang ke Restoran Chaq Corner hanya untuk menikmati Char Kuetiau  Tsunami.
PELANGGAN datang ke Restoran Chaq Corner hanya untuk menikmati Char Kuetiau Tsunami.
ARHAM Syafiq (kanan) bersama Aryana Syafiqah menunjukkan hidangan istimewa mereka.
ARHAM Syafiq (kanan) bersama Aryana Syafiqah menunjukkan hidangan istimewa mereka.
Fatin Farhana Japre


Bagi penggemar char kuetiau dan makanan laut, Restoran Chaq Corner di Taman Tasik Utama Ayer Keroh, Melaka, pasti memberi kepuasan kepada anda.

Bukan sahaja kenyang menikmati char kuetiau yang lazat, bahkan pelanggan juga boleh menikmati ketam, udang, sotong dan kerang segar dalam setiap hidangan Char Kuetiau Tsunami.

Rasa manis kuah berasaskan udang segar resipi warisan keluarga pemiliknya dari Kedah pasti membuatkan anda bakal datang lagi menjamu selera di situ.

Pemiliknya Arham Syafiq Azmi, 28, berkata, Char Kuetiau Tsunami adalah menu terbaru di restorannya yang diperkenalkan dua bulan lalu, namun mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

“Di Melaka, saya mungkin yang pertama menjual Char Kuetiau Tsunami. Kelainannya bukan saja dari segi rasa, malah cara penyediaan juga kerana setiap hidangan dilengkapi empat jenis makanan laut berbanding kuetiau biasa.

“Penyediaannya mudah kerana ia mengambil masa kurang dua minit untuk disiapkan.

“Char kuetiau saya menggunakan udang segar bagi menambah rasa manis kuah, tetapi ada beberapa lagi bahan rahsia yang ditambah supaya lebih sedap.

“Kepuasan pelanggan juga kepuasan saya. Dua hari sekali saya akan ke pasar borong membeli sendiri bahan-bahannya untuk memastikan kesegaran hidangan,” katanya.

Dengan harga RM18, anda boleh menikmati char kuetiau dengan seekor ketam, lima ekor udang, seekor udang bersaiz sederhana dan kerang seberat 50 gram.

Arham Syafiq yang dibantu isteri Aryana Syafiqah Abdullah, 26, berkata, sebanyak 30 hidangan itu terjual setiap hari dan pada hari cuti pula boleh mencecah 60 pinggan.

Selain char kuetiau, Restoran Chaq Corner juga menyediakan masakan barat dan pelbagai makanan lain seperti sup, dim sum dan makanan bergoreng yang menepati cita rasa pelanggan.

Restoran Chaq Corner beroperasi setiap hari kecuali Selasa dari jam 1 tengah hari hingga 1 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 11:56 AM