Keadaan di tempat kemalangan kenderaan ketika  perlumbaan  Go-Kart EIMARACE di Kuantan, pagi ini. - Foto Fail
Keadaan di tempat kemalangan kenderaan ketika perlumbaan Go-Kart EIMARACE di Kuantan, pagi ini. - Foto Fail
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melahirkan rasa dukacita berikutan kejadian meragut nyawa penonton ketika perlumbaan Go-Kart EIMARACE 2016 di Jalan Sukpa, Kuantan, Pahang, hari ini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Dalam kemalangan membabitkan dua jentera kategori 131cc kira-kira jam 11 pagi tadi di Indera Mahkota, Pahang, dua penonton terbunuh manakala dua lagi dilaporkan kritikal.

"Saya melahirkan rasa dukacita dengan kejadian meragut nyawa penonton itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Dr Wahid berkata, berikutan kejadian itu, penganjur mengambil keputusan menghentikan perlumbaan dan membatalkan pertandingan.

"Penganjur EIMARace 2016 mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi mengelak kemalangan membabitkan penonton dengan meletakkan penghadang air, pita keselamatan dan menempatkan anggota keselamatan.

"Langkah berkenaan diambil selaras dengan saranan Motorsports Association of Malaysia (MAM), badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia," katanya.

Berita berkaitan

http://www.hmetro.com.my/node/169130

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 9:09 PM