Kuala Lumpur: Lapan individu ditahan dipercayai terlibat dalam kes penipuan mendapatkan gelaran ‘Datuk’ di Sibu, Sarawak, antara November 2016 sehingga 31 Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka terdiri empat lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 sehingga 40 tahun termasuk seorang wanita berusia 36 tahun yang dipercayai suspek utama.

“Polis menerima laporan daripada peguam lelaki berusia 63 tahun yang mendakwa diperdaya supaya membayar RM604,000 untuk didermakan kepada sebuah yayasan sebagai syarat untuk pengadu mendapatkan gelaran Datuk,” katanya.

Menurutnya, suspek wanita itu membuat tawaran berkenaan kepada mangsa selepas memperkenalkan diri sebagai orang kanan dan pembantu Raja Permaisuri Agong di Istana Negara, pada 18 November tahun lepasm di Sibu, Sarawak sebelum transaksi pembayaran dilakukan secara tunai dan kemasukan wang ke akaun bank milik suspek.

Acryl Sani berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah dimaklumkan oleh Pegawai Istana Negara pada 31 Ogos lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan awal mendapati pengadu telah dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 4 Jun mengikut saluran yang betul.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas RM1,139 tunai, tiga telefon pintar, kad dan buku akaun bank, dua buah buku catatan darjah kebesaran, dua fail putih mengandungi rekod dan rujukan Datuk, 10 album gambar, tali tangan besi dan cincin berwarna keemasan serta sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Beliau berkata, semua tahanan direman empat hari bermula semalam sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 9:17 PM