KEADAAN kenderaan yang terbabas. FOTO ihsan pembaca Amiludin Md Noor
KEADAAN kenderaan yang terbabas. FOTO ihsan pembaca Amiludin Md Noor
Safuri Kamarudin


Baling: Juruteknik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling, maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Kampung Telok Durian, Kupang, dekat sini, 1.30 pagi tadi.

Mangsa Muhamad Fakri Wasoh, 26, dari Kampung Masjid Kuala Kuang, Kupang maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas bermain badminton di Baling sebelum kenderaan dipandunya terbabas ke kiri jalan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal kenderaan dipandu mangsa terbabas ketika melalui selekoh di jalan berkenaan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa tidak memakai tali pinggang keledar ketika kejadian itu dan dipercayai jalan licin kerana musim hujan," katanya ketika dihubungi.

Shariffuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Kenderaan pacuan empat roda berkenaan turut remuk di bahagian hadapan sebelah kanan.

"Polis masih menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 7:39 PM