AMINUDIN (berbaju kuning) bergambar kenangan bersama peserta program di Mukim Malau, Kubang Pasu.
AMINUDIN (berbaju kuning) bergambar kenangan bersama peserta program di Mukim Malau, Kubang Pasu.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Kubang Pasu: Hampir 1,000 peserta menjayakan Program Kayuhan Santai Patriotik 2016 yang berlangsung di Mukim Malau, Kubang Pasu, sempena Hari Kebangsaan 2016 peringkat Dewan Undangan Negeri Jitra, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminudin Omar berkata, pihaknya tidak menyangka penyertaan peminat aktiviti basikal lasak begitu menggalakkan melebihi sasaran awal 500 peserta.

Katanya, biarpun sekadar menawarkan hadiah cabutan bertuah, peserta dari seluruh Kedah bersungguh-sungguh melakukan kayuhan sejauh 30 kilometer mengelilingi daerah Kubang Pasu.

Lebih menarik, kayuhan ini turut disertai Ketua Pengarah Biro Tata Negara Datuk Ibrahim Saad dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah Ismasuhaimi Shahrif yang berjaya menamatkan kayuhan.

Peserta kayuhan anjuran Pejabat Khidmat ADUN Jitra dan Biro Tata Negara Kedah itu dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:24 PM