DR Mohd Irwan Serigar berucap pada sesi dialog Pasca Bajet 2015.
DR Mohd Irwan Serigar berucap pada sesi dialog Pasca Bajet 2015.

Kuala Lumpur: Kerajaan menolak pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) kerana menyifatkan ia tidak menyeluruh dan tidak menjanjikan pendapatan yang tinggi untuk negara.

Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, CGT yang dikenakan hanya bersifat jangka pendek dan belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

"Buat masa ini, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) adalah sebahagian daripada CGT, namun ia dikenakan bukan untuk menjana pendapatan sebaliknya sebagai mekanisme mengekang aktiviti spekulasi harga hartanah.

"Malah, pendapatan yang diperoleh daripada pelaksanaan CKHT hanya sekitar RM600 juta setahun dan ia tidak mencukupi untuk kepentingan jangka masa panjang," katanya selepas sesi dialog pasca Bajet 2015 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih wajar kerana ia meliputi aspek lebih luas selain mampu menjana pendapatan lebih tinggi.

"Kerajaan berpendapat, pelaksanaan GST adalah lebih wajar berbanding CGT khususnya dengan status Malaysia sebagai negara membangun.

"Sekiranya Malaysia sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi, mungkin pelaksanaan CGT boleh dipertimbangkan," katanya.

Irwan berkata, negara seperti Singapura tidak melaksanakan CGT dan sekiranya Malaysia melaksanakan cukai berkenaan, ia akan memberi kesan negatif khususnya dalam pasaran saham tempatan.

"Singapura hanya melaksanakan GST dan tiada CGT dikenakan. Maka, jika Malaysia melaksanakan CGT, ia hanya membawa petanda negatif kepada pasaran saham negara kerana pelabur mungkin memilih Singapura berbanding Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:07 AM