RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu menyelinap ke dalam kenderaan sebaik pemandunya keluar.
RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu menyelinap ke dalam kenderaan sebaik pemandunya keluar.
Agensi

Beijing: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun menyebabkan kemalangan selepas menyelinap masuk ke dalam kenderaan digunakan untuk penghantaran barang dan memandunya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di tepi jalan.

Rakaman kejadian di Linquan, wilayah Shandong itu disiarkan People’s Daily Online yang menunjukkan kanak-kanak terbabit tidak diawasi ibu bapanya di tepi jalan raya.

Dalam rakaman itu, kenderaan ala tuk tuk itu dilihat berhenti di tepi jalan, berhampiran kanak-kanak terbabit.

Sebaik pemandunya keluar menghantar barang, kanak-kanak itu dilihat terus masuk ke dalam kenderaan berkenaan dan menghidupkan enjinnya.

Kenderaan itu nampak tersenggut sebelum terus merempuh SUV yang diletakkan di depannya. Budak itu kemudian dilihat keluar dari kenderaan berkenaan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Perbuatan kanak-kanak itu dibincangkan meluas di Internet dengan pengguna laman web 163.com menganggap budak berkenaan terlalu nakal.

“Cepatnya budak itu bertindak! Memang berbakat!” kata seorang pengguna.

Bagaimanapun, seorang lagi berkata: “Ibu bapanya cuai membiarkannya begitu saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:47 AM