SITI berbangga produknya kini dapat diperluaskan di peringkat antarabangsa.
SITI berbangga produknya kini dapat diperluaskan di peringkat antarabangsa.
Yusliza Yakimir Abd. Talib


SimplySiti jenama kosmetik milik penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza kini menawarkan tetamu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dua produk eksklusif AirAsia-SimplySiti.

Produk edisi khas, iaitu Simply Elegant 2 Way Cake - AirAsia dan Simply Elegant Lip Gloss Duo - AirAsia itu boleh didapati dalam semua penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan AirAsia X (kod penerbangan D7) bermula 1 September.

Produk buatan Korea itu ditawarkan pada harga promosi RM54 setiap satu di dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X sepanjang September. Ia juga boleh dibeli di laman web bigdutyfree.com. Kedua-dua produk ini dari rangkaian produk paling laris SimplySiti dan tidak boleh dibeli di tempat lain.

Produk eksklusif AirAsia-SimplySiti itu adalah kolaborasi pertama kedua-dua syarikat yang dilancarkan baru-baru ini.

Siti yang juga Presiden SimplySiti Sdn Bhd berkata, kerjasama SimplySiti dengan AirAsia membuatkan produk syarikat itu kini lebih mudah didapati di pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, perkongsian itu memudahkan produk SimplySiti merentas sempadan di pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjak lebih jauh ke dalam pasaran yang belum diterokai secara global.

“Selain memudahkan wanita mendapatkan produk itu ketika di awan biru, ia juga boleh dijadikan hadiah untuk yang tersayang khususnya bagi mereka yang kesuntukan masa membeli cenderahati ketika melancong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Barangan Bebas Cukai Kumpulan AirAsia Sumeet Dhingra berkata, dua produk eksklusif itu dijual dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang menjangkau lebih 120 destinasi di seluruh dunia.

Selain itu, AirAsia BIG Duty Free juga mengumumkan rangkaian penuh produk SimplySiti juga kini boleh didapati secara dalam talian di laman bigdutyfree.com menjadikan AirAsia BIG Duty Free sebagai satu platform khas untuk kesemua produk SimplySiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:11 PM