WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tempoh moratorium ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lanjutan moratorium itu dibuat berikutan masih ada baki 4.13 tan metrik bauksit yang terdapat di tiga stor penyimpanan yang belum dieksport.

Beliau berkata, Kabinet semalam meluluskan lanjutan moratorium itu memandangkan masih ada banyak baki bauksit yang belum dikosongkan masing-masing di Felda Bukit Goh; Sungai Ular dan Gebeng.

"Selain itu, lanjutan tempoh itu dibuat bagi membolehkan agensi pelaksana, penguatkuasa dan industri berkaitan diberi penjelasan secukupnya mengenai penambahbaikanyang dicadangkan agar dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Bagi tujuan pengosongan baki di stor penyimpanan, kami tidak lagi akan mengeluarkan permit kelulusan (AP) bauksit bagi memudahkan pemantauan dan kawalan terhadap aktiviti berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, tempoh moratorium sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali bagi mengosongkan baki bauksit yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 3:53 PM