Keadaan kereta dinaiki Ketua Pengarang Bernama yang terbabas. - Foto NAZDY HARUN
Keadaan kereta dinaiki Ketua Pengarang Bernama yang terbabas. - Foto NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zakaria Abd Wahab terselamat apabila kereta dinaikinya terbabas di Kilometer 395.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2, dekat Ajil di sini, petang ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, kereta Proton Perdana dinaiki Zakaria dipandu pemandunya, Mior Hasmaizi Isa, 47, hilang kawalan sebelum terbabas. Ketika kejadian jalan raya basah kerana hujan.

Zakaria ke Kuala Terengganu malam tadi untuk menghadiri mesyuarat bersama biro Terengganu pertubuhan itu pagi ini.

Beliau sempat menziarahi wartawan sambilan Bernama, Ibrahim Abu Bakar, 74, yang dirawat di di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kerana sakit jantung sebelum pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang.

Zakaria dan pemandunya dirawat di Hospital Hulu Terengganu dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Asisten Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun belum menerima laporan daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 7:04 PM