ZAHIRIL bersama Sharifah Amani bawa watak Uda dan Dara.
ZAHIRIL bersama Sharifah Amani bawa watak Uda dan Dara.
Tengku Iesta Tengku Alaudin


Kamus Dewan menyatakan Pekak itu ialah ‘tidak dapat mendengar langsung atau tidak dapat mendengar dengan baik’. Istilah lain yang digunakan ialah tuli atau cacat pendengaran, tetapi paling diplomatik ialah ‘bermasalah pendengaran’.

Pekak juga boleh digunakan dalam konteks sengaja iaitu dengan cara ‘memekakkan’ diri kepada persekitaran kita. Dalam erti kata lain tidak mengambil endah atau istilah mudahnya, tidak kisah.

Semua maksud inilah yang dibawa dalam filem Pekak apabila mulanya idea untuk menghasilkan filem ini dibawa kepada kami di Grand Brilliance oleh penulis dan pengarah muda Mohd Khairul Azri atau lebih mesra disapa Kroll kira-kira dua tahun lalu.

Bermula dengan teks asal bernama Uda dan Dara, Pekak mengisahkan hubungan di antara seorang pemuda pekak yang menjual dadah untuk menyara dirinya dan seorang gadis sekolah menengah yang dikongkong bapa sejak ibunya tiada.

Premisnya sebuah cerita cinta, namun apa yang menarik minat kami terhadap naskhah ini ialah kisah persekitaran kepada kisah cintanya iaitu persekitaran bergelumang dengan dadah, seks dan keganasan yang langsung tidak kondusif untuk percintaan ini.

Atau mampukah cinta itu mengatasi segala-galanya?

Kedua-dua anak muda ini mencari identiti dan tapak mereka di dalam kehidupan hingar-bingar ibu kota Kuala Lumpur.

Pemuda pekak bernama Uda (lakonan Zahiril Adzim) banyak dipengaruhi mentornya, Pusher (Joe Flizzow) dan gadis naif, Dara (Sharifah Amani) yang dipengaruhi rakan sekolahnya yang ‘street-smart’ bernama Melur (Sharifah Sakinah).

Mereka seakan-akan tiada suara dalam situasi kehidupan bandar ini kerana tiada siapa yang ingin mendengar suara mereka. Semua di sekeliling memekakkan diri.

Uniknya filem ini ialah ia menerokai kehidupan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dan mengi­ngatkan penonton seorang pemuda yang pekak masih mempunyai hati dan perasaan seperti orang biasa.

Kita mengikuti perjalanan Uda yang mempunyai misi dalam kehidupan dan terdesak ingin diterima sebagai seorang yang normal hingga berasakan niat itu menghalalkan cara.

Zahiril berjaya membawa watak itu dengan baik dibantu dengan pengalaman bapanya sendiri yang fasih berbahasa isyarat.

Dalam sidang media baru-baru ini, Zahiril menceritakan cabaran terbesar memainkan watak Uda ialah dia boleh mendengar bunyi semasa berlakon dan ini boleh mengganggu penghayatan watak ataupun reaksi kepada pelakon lain.

Sehubungan itu, Zahiril terpaksa memekakkan telinganya kepada sebarang bunyi sepanjang penggambaraan filem itu.

Selepas tamat penggambaran, Zahiril sukar ‘mengeluarkan’ Uda dalam dirinya kerana watak itu sudah sebati dalam jiwanya.

Dara yang dilakonkan Sharifah Amani pula penuh bertenaga dan sifat lurus bendul serta suci yang berjaya dibawakannya dengan baik.

Hidupnya amat sepi kerana merindui ibunya yang sudah tiada. Jiwanya pula meronta untuk berjumpa dengan seseorang yang boleh diajak berbual daripada pergaulan yang membuang masa.

Ironinya apabila Uda dan Dara bertemu, barulah suara mereka didengari. Dara menganggap Uda benar-benar mendengar apa yang dituturkannya walaupun Uda vitu pekak.

Uda pula tidak sangka dapat bertemu dengan seseorang di luar radius kerjanya lantas memberikan erti baru dalam usahanya untuk membetulkan pendengarannya.

Teman Dara paling akrab ialah Melur, seorang oportunis yang mengambil kesempatan atas keadaan Dara.

Berlagak sebagai gadis suci di depan orang, Melur hidup berfoya-foya dan berkawan demi kepentingannya iaitu wang serta keseronokan.

Melur juga kesepian di tengah-tengah kota lalu mencari jalan keluar menerusi teman lelakinya iaitu Azman Picasso.

Amerul Affendi antara pelakon berkarakter terbaik di Malaysia membawa watak Azman yang juga penagih tegar yang obses dengan ‘art’ beratnya yang hanya dirinya sendiri yang faham.

Saya yakin penonton akan mengingati watak Melur dan Azman jauh selepas tayangan berakhir.

Bak kata Azman, penonton kena ‘checkidoot barang baek ini’.

Kemudian, ada pula watak Kamil (lakonan Iedil Putra) seorang graduan luar negara yang kaya tetapi tiada kawan sebenar lalu dipengaruhi oleh sepupunya Azman Picasso untuk memilih jalan mudah melayan nafsunya itu.

Ketika tayangan bersama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) baru-baru ini, ada penonton yang menyatakan paparan filem ini mengenai ‘teenage wasteland’ apabila remaja menghabiskan masa dengan tidak tentu hala.

Ironinya, watak Kamil ini yang mewakili ‘lost opportunity’ ataupun harapan terbuang kerana di dalam tangannya ada peluang untuk berjaya tetapi disia-siakan begitu saja demi ego dan nafsu.

Tema kesepian atau lebih khusus perasaan takut bila sendirian (fear of being alone) juga diterokai melalui naskhah ini. Sudah tentunya perasaan takut ini mendorong anak muda serta dewasa untuk mencari teman atau kumpulan yang sejiwa, sama ada dari segi minat, hobi, sukan dan sebagainya.

Pekak mempunyai rencah dan ramuan yang cukup serta naskhah yang kami rasa berupaya ke peringkat antarabangsa.

Ketika malam gala filem Pekak baru-baru ini, ramai yang menyatakan filem ini sebuah filem yang jujur dan berani.

Ia berani menampilkan isu anak muda dan menampilkannya secara jujur tetapi tidak terlalu ‘berhujah’. Selain itu, produksinya juga berani dari segi penggunaan kamera dan muzik antaranya. Ia juga jujur dalam memberi ruang untuk watak bernafas dan beremosi.

Ini semua hasil titik peluh ramai anak muda kreatif yang terbabit dalam produksi ini. Mereka ingin berkongsi cerita dan ingin mencari audiens yang sanggup mendengar suara mereka.

Suara mereka harus didengar. Jangan kita buat pekak pada suara mereka itu.

Pekak yang diterbitkan Lightbulb Pictures dan Grand Brilliance mula ditayangkan di seluruh negara sejak kelmarin.

Penulis Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:12 AM