Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Usaha kerajaan meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan dilihat memberikan impak positif apabila pembabitan golongan terbabit meningkat secara konsisten daripada 45.7 peratus kepada 54.1 peratus pada 2008 hingga 2015.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati peningkatan yang dicapai itu didorong kemudahan potongan cukai berganda kepada syarikat yang melatih wanita untuk kembali aktif dalam sektor pekerjaan.

Menurutnya, setakat tempoh kajian dilakukan, ada kira-kira 10.3 juta golongan wanita yang bekerja di mana 5.4 juta daripada jumlah itu adalah mereka yang terbabit dalam sektor tenaga buruh.

Bagaimanapun, penyertaan golongan wanita masih lagi rendah berbanding lelaki merangkumi segmen berbeza seperti kumpulan umur dan taraf pendidikan, malah Malaysia berada di tangga ketiga terakhir penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan di rantau ASEAN.

Selain itu, pada 2015, majoriti wanita yang berada dalam alam pekerjaan di negara ini mempunyai latar belakang pendidikan peringkat menengah iaitu sebanyak 49.2 peratus dan penyertaannya berada di peringkat puncak pada kadar 74.7 peratus dengan umur pula antara 20 hingga 24 tahun.

“Malah, penyertaan wanita dengan pendidikan pada peringkat tinggi juga dilihat begitu memberangsangkan dengan kadar 87.7 peratus di antara umur 30 dan 34 tahun dan ia kekal konsisten 80 peratus untuk mereka yang berumur 25 dan 49.

“Profail penyertaan tenaga buruh wanita yang berpendidikan tinggi menyerupai lelaki berpendidikan tinggi lebih daripada wanita yang berpendidikan peringkat menengah dalam tempoh yang dikaji,” kata Laporan Keadaan Isi Rumah edisi kedua yang dilancarkan di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, laporan itu turut menekankan ketidakseimbangan dari segi kemewahan yang dibuat berdasarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan simpanan Amanah Saham Bumiputera.

Ia ternyata lebih ketara dan menimbulkan kebimbangan bahawa tabungan ramai tidak mencukupi untuk simpanan persaraan.

Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani berkata, antara kebimbangan itu membabitkan kemungkinan bahawa ramai rakyat tidak menyimpan secukupnya untuk tempoh persaraan selama 20 tahun serta terlalu banyak berhutang.

Beliau berkata, walaupun keadaan isi rumah lebih baik dan jangka hayat rakyat tempatan bertambah iaitu 77.4 tahun untuk wanita dan lelaki 72.5 tahun, namun kenaikan harga makanan yang lebih ketara berbanding inflasi secara menyeluruh ternyata menjadi kebimbangan utama.

“Harga susu tepung dan produk tenusu lain meningkat dan berbeza jika dibandingkan dengan kejatuhan harga makanan itu di negara seperti Australia dan New Zealand,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 7:15 AM