Tiga bekas pemain T-Team diiringi oleh pegawai SPRM selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Tiga bekas pemain T-Team diiringi oleh pegawai SPRM selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tiga bekas pemain T-Team masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes mengatur perlawanan antara Terengganu dengan Pahang dan Selangor pada 2014.

Ketiga-tiga tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan 12 bulan lagi jika mereka gagal membayar denda berkenaan

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh, Mohd Nadzmeer Hisham Mohamad, 25, Mohd Hafiz Mohd Noor, 26 dan Mohd Hanifzam Muda, 26, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes mengatur perlawanan antara Terengganu dengan Pahang dan Selangor pada 2014.

Tertuduh, Mohd Nadzmeer Hisham dan Mohd Hanifzam didakwa memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes pada 7 Mei 2014 di Mahkamah Sesyen 3 Kuala Terengganu manakala Mohd Hafiz didakwa melakukan kesalahan sama di mahkamah sama pada 6 Mei 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 1:59 PM