Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Padah menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor, seorang lelaki ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Teluk Wanjah, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar berkata, lelaki berusia 34 tahun itu, ditahan 12.15 tengah malam dalam keadaan mencurigakan ketika berhibur.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui sekeping kad menyerupai kad kuasa polis yang tertera wajah dan nama suspek dalam poket seluarnya.

" Kad palsu terbabit tertera gambar suspek berpakaian seragam polis berpangkat Inspektor.

"Kita terpaksa menahan suspek kerana dipercayai menyamar sebagai polis dan pemeriksaan air kencing juga didapati suspek positif dadah," katanya ketika dihubungi tadi.

Rohana berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan perintah reman akan dimohon hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 12:31 PM