Sumita meratap sambil meriba mayat anaknya, Krishna, 10 bulan, di luar hospital.
Sumita meratap sambil meriba mayat anaknya, Krishna, 10 bulan, di luar hospital.
AFP

New Delhi: Ibu bapa seorang bayi berusia 10 bulan hari ini mendakwa anak mereka mati akibat rawatan di hospital kerajaan yang tertangguh kerana kakitangannya meminta ‘duit kopi’.

Sumita dan Shiv Dutt mendakwa, bayi lelaki mereka dibawa ke hospital di Uttar Pradesh Ahad lalu, dan seorang jururawat meminta bayaran untuk menguruskan dokumen rawatan.

Seorang pencuci kemudian meminta bayaran untuk menyediakan katil di hospital di bandar Bahraich itu dan ibu bapa berkenaan menyatakan mereka tiada pilihan terpaksa membayar.

Sumita Dutt mendakwa, dua hari kemudian seorang pegawai perubatan juga meminta wang bagi melakukan suntikan namun dia sudah kehabisan wang lalu berlaku pertengkaran menyebabkan rawatan anaknya tertangguh.

“Saya minta dia beri masa untuk saya saya menyediakan wang dan berjanji kepadanya akan beri berapa saja dia mahu,” katanya sambil menangis kepada rangkaian televisyen NDTV sambil meriba mayat anaknya.

Bapa bayi itu yang tidak menyatakan jumlah wang dibayarnya mendakwa kakitangan hospital meminta rasuah bagi setiap peringkat.

Berikutan itu, pengurusan hospital berkenaan menyatakan ia memulakan siasatan namun menafikan lambat merawat bayi berkenaan.

“Tiada kelewatan memberi antibiotik kepada bayi itu pada pagi dan petang setiap hari,” kata doktor kanan OP Pandey.

Menurutnya, pencuci itu sudah dipecat manakala jururawat terbabit dipindahkan ke jabatan lain.

Jun lalu, seorang lelaki 75 tahun mati selepas keluarganya mendakwa hospital di Kolkata enggan merawatnya kerana tidak membayar 200 rupee (RM8). Sebulan sebelum itu, seorang remaja dilaporkan mati selepas bapanya enggan membayar sogokan 300 rupee kepada pekerja hospital kerajaan di Tamil Nadu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 5:20 PM