Pemain Johor DT  Amirulhadi Zainal (kanan) mengasak pemain Pulau Pinang Jeong Seok Min.
Pemain Johor DT Amirulhadi Zainal (kanan) mengasak pemain Pulau Pinang Jeong Seok Min.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Semangat membara Pulau Pinang untuk terus mencipta kemenangan gagal apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Bandaraya malam tadi.

Begitupun, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan jurulatih Nenad Bacina itu apabila bermati-matian untuk mencipta kemenangan ke atas pelawat.

Biarpun tersentak dengan jaringan awal Johor DT pada minit ke-11 yang dihasilkan Jorge Pereyra Diaz namun tidak melemahkan semangat Harimau Kumbang untuk mencari gol penyamaan.

Dalam usaha mencari gol, pemain tuan rumah, Muhammad Farisham dilayangkan kad kuning selepas menampan bola dengan tangan pada minit ke-29 dan kedudukan 1-0 kekal berpihak kepada pelawat hingga rehat.

Sebaik wisel babak kedua bermula, tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke gawang Johor DT namun semuanya mengecewakan.

Gol yang dicari Pulau Pinang akhirnya hadir pada minit ke-60 menerusi Fitri Omar sekali gus melonjakkan semangat Harimau Kumbang untuk terus menyerang.

Pelawat yang dibimbing Mario Gomez ternyata buntu untuk mencari gol tambahan apabila setiap serangan dilakukan dipatahkan barisan pertahanan Pulau Pinang diketuai Reinaldo Lobo.

Farisham turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan dan menerima trofi yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:47 AM