PPR Lembah Subang.
PPR Lembah Subang.
BERNAMA

Shah Alam: Kerajaan Selangor hanya akan menyerahkan semula pengurusan dan penyelenggaraan bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu kepada kerajaan pusat dengan syarat mereka memulangkan semula RM8 juta yang dibelanjakan kerajaan negeri untuk membaik pulih PPR sejak 2008.

Exco Selangor yang bertanggungjawab hal-ehwal perumahan Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, bukan semua PPR yang diserahkan kepada kerajaan negeri berada dalam keadaan sempurna dan pihaknya sudah membelanjakan wang yang banyak bagi membaik pulih projek itu.

"Kami bersedia menyerahkan semula (PPR) tapi bagi balik wang dibelanjakan untuk baik pulih. Kami membelanjakan RM8 juta, bagi balik RM8 juta kami itu, kami akan serahkan semula," katanya selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri bersama penjawat awam dan Kontinjen Sukma Selangor di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Iskandar mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, yang dilapor berkata pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Selangor bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan bangunan PPR di negeri itu.

Noh berkata langkah itu sebahagian transformasi serta pendekatan baru kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri menguruskan PPR di Lembah Subang.

Iskandar berkata sewa yang dikutip daripada penghuni PPR juga tidak mencukupi untuk menampung kos membaik pulih serta mengurus PPR dan RM3 juta dibelanjakan pada 2012 bagi membaiki lif dan pam air di semua PPR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:15 PM