LALUAN yang akan ditutup Ahad ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
LALUAN yang akan ditutup Ahad ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Dua puluh empat laluan termasuk dua lebuh raya di sekitar ibu kota akan ditutup sempena Kuala Lumpur Standard Chartered International Marathon 2016, Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, larian maraton berkenaan membabitkan laluan 42 kilometer dan dijangka menarik 35,000 peserta dari dalam serta luar negara.

"Bagi melancarkan perjalanan program ini, 24 jalan akan ditutup membabitkan Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato' Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen (dari Bank Negara menghala ke Jalan Tanglin), Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamudin (KTM), Jalan Parlimen (dari Bank Negara menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

"Jalan terbabit akan ditutup kepada pengguna awam bermula 4 pagi sehingga tamat acara pada 11 pagi. Manakala bagi Lebuhraya AKLEH akan ditutup 2 pagi hingga 9 pagi dan Lebuhraya DUKE pula bermula 2 pagi hingga 11 pagi," katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Amar turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif dan pengankutan awam bagi mengelakkan kesesakan.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya dan peserta supaya mematuhi arahan anggota yang bertugas sepanjang program berlansung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 1:31 PM