MESSI (kanan) dan Neymar (tengah) sumbang gol untuk Barca.
MESSI (kanan) dan Neymar (tengah) sumbang gol untuk Barca.

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Luis Enrique bangga berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Paris SG dalam semua pertandingan musim ini sekalipun terpaksa menerapkan sistem baru ketika menang dalam aksi Liga Juara-Juara.

Bekas penyerang Barcelona, Zlatan Ibrahmovic meletakkan kelab Perancis itu di depan selepas 15 minit, awal pagi semalam sebelum tuan rumah bangkit pada perlawanan penentuan Kumpulan F itu menerusi jaringan Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

Kemenangan itu memastikan Barca mengungguli kumpulan dengan 15 mata, dua di depan PSG dan mencatat rekod baru 13 kemenangan dalam kumpulan pada pertandingan itu, lebih satu berbanding musuh utama Real Madrid.

Ia pada mulanya agak hambar buat Barca, yang bermula dengan tiga pertahanan dan PSG memiliki beberapa peluang menambah gol terutama pada babak kedua sebelum Suarez menyumbat gol pada minit ke-77 bagi mengesahkan kemenangan buat tuan rumah.

“Adakah sistem baru ini berisiko? Ia bergantung kepada keputusan, apapun yang berlaku sama ada ia bagus atau tidak bergantung kepada keputusan,” kata Enrique.

“Kami tanpa pemain utama Dani Alves yang digantung perlawanan dan keluar dengan perancangan untuk mencetus masalah buat lawan yang bertahan dengan baik dan cuba menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas.

“Ia menjadi lebih sukar apabila mereka lebih dulu menjaringkan gol, tapi kami berjaya mengubah kedudukan dengan persembahan baik. Kami bermain dengan sistem yang dirasakan mampu mengancam.

“Kami mencipta peluang, mengalahkan pasukan kuat untuk berakhir sebagai juara kumpulan dan ia malam yang bagus buat kami.”
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 7:15 AM