HAMDAN Shaarani dengan karya ‘Refleksi Jernih 32’ daripada akrilik di atas kanvas.
HAMDAN Shaarani dengan karya ‘Refleksi Jernih 32’ daripada akrilik di atas kanvas.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Galeri Tapak di Seksyen 8 Shah Alam menganjurkan Pameran ‘Earth III’ buat kali ketiga pada 16 Julai lalu.

Karya yang dipamerkan mengetengahkan tema alam semula jadi mengikut sensitiviti dan gaya artis.

Sebanyak 40 karya yang dipamerkan hasil kerja tangan 40 artis seperti Farid Raihan Ahmad, Zaharin Mohammmad, Hamdan Shaarani, Amir Shukri Husain, Radzuan Mad Diah, Faizal Alwie dan Elias Ahmad.

Selain mempamerkan mesej dan maksud tersendiri, Earth IIII turut menampilkan kepelbagaian genre, teknik serta penghasilan karya yang teliti.

Selain lukisan, hasil seni seperti percetakan dan fotografi turut diketengahkan dengan penggunaan beberapa medium berbeza seperti cat minyak, akrilik dan campuran media.

Menurut artis terkemuka negara yang juga pemilik galeri Yusof Ghani, pameran kali ini memaparkan karya pelukis tempatan yang mengetengahkan pandangan mereka terhadap alam semula jadi dan isu terkini berkaitan alam.

“Antara yang mesej yang disampaikan ialah isu pemanasan global dan kemusnahan alam semula jadi.

“Pendek kata setiap karya yang diketengahkan ada makna tersurat dan tersirat serta membawa maksud tersendiri, bukan sekadar hasil visual,” katanya.

Sempena pembukaan pameran itu, Galeri Tapak turut mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri yang turut disertai barisan artis serta beberapa tetamu lain seperti penyanyi dan komposer M Nasir.

Pameran di ruang pameran terbuka di tingkat bawah galeri itu sehingga 5 Ogos depan dibuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:02 AM