Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Petani: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita warga Thailand di sebuah hotel, di sini, Jun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Hum Kim Theng, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, pemilik premis urut itu didakwa memperdagangkan Orathai Ananchai, Bualaung Pongsrapang dan Waraphon Seemuang bagi maksud eksploitasidi Hotel Park Avenue, Tingkat 3, Jalan Indah 2, Taman Sejati Sungai Petani jam 9.30 malam pada 23 Jun lalu.

Kim Theng didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping dan tertuduh diwakili peguam Chong Seng Ming.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan tarikh 18 Ogos sebagai tarikh penyerahan dokumen perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 2:52 PM