MOHAMAD Zulfikar. FOTO Aizat Shariff
MOHAMAD Zulfikar. FOTO Aizat Shariff
Aizat Sharif

SEORANG pembantu kedai makan yang juga kudung kaki kanan dihukum penjara 12 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulfikar Nazriq Mohd Zahir, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang rakannya Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, dan seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang ke atas telefon bimbit milik wanita berusia 23 tahun di hadapan sebuah pasar raya, pada 7.15 pagi, 10 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang ke atas barang kemas dan barangan peribadi milik wanita berusia 37 tahun di sebuah kedai dobi di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada 7 pagi, 11 September lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa merompak berkumpulan menggunakan parang ke atas wang tunai berjumlah RM1,500, telefon bimbit dan aksesori lain milik remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah kedai di Jalan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, pada 7.15 pagi, 11 September lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh Jugindar Singh, manakala Mohamad Zulfikar Nazriq diwakili peguam K Sobini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:41 PM