Aminuddin (kanan) menziarahi jenazah Allahyarham di Kampung Kunluang, Asun, Jitra. Foto Zuliaty Zulkiffli
Aminuddin (kanan) menziarahi jenazah Allahyarham di Kampung Kunluang, Asun, Jitra. Foto Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkifli

Jitra: Tok Dalang Wayang Kulit Sri Asun Abdul Majid Md Noh, 67, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Jitra, hari ini.

Allahyarham yang dikenali sebagai Pak Majid dan anak kepada pengasas wayang kulit Kedah dimasukkan ke hospital sejak semalam.

Anaknya, Shazwan Suhaili, 22, berkata, bapanya dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas selain menghidap kencing manis.

Katanya, arwah yang turut mempunyai masalah jantung dan buah pinggang menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.

"Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kunkluang, Asun, di sini, jam 9 pagi esok," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kunluang, Mukim Binjai, Asun, di sini.

Katanya, bapanya juga sempat mewariskan bakatnya bermain wayang kulit kepada anak lelaki bongsunya, Mohd Farhan, 21, sejak dua tahun lalu.

Allahyarham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kunluang itu mempunyai lapan anak hasil daripada dua perkahwinan.

Lebih 300 ahli keluarga dan sahabat handai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Aminuddin Omar menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 9:27 PM