Milan: Jurulatih AS Roma Rudi Garcia percaya pasukannya mampu menangani tekanan perlu menang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City awal pagi esok jika mahu layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak musim 2010-11.

Ketika Roma sedar kemenangan memastikan tempat mereka ke pusingan kedua, keputusan lain turut mampu membantu kemaraan mereka.

Seri sudah memadai sekalipun Roma perlu memastikan CSKA seri dengan Bayern di gelanggang lawan.

City hadir ke ibu negara Itali itu tanpa Sergio Aguero, yang dikeluarkan selepas hanya 75 saat ketika menang 1-0 di laman sendiri ke atas Everton hujung minggu lalu dengan kecederaan ligamen lutut yang mungkin menyaksikannya diketepikan sepanjang baki musim.

Aguero, pendahulu penjaring gol terbanyak Liga Perdana dengan 14 gol dan menghidupkan peluang City ke pusingan kedua dengan hatrik ketika mengatasi Bayern 3-2 bulan lalu, pasti dirasai ketiadaannya oleh pasukan kendalian Manuel Pellegrini.

Namun, pemain tengah James Milner percaya City tetap mempunyai kekuatan untuk mencetus kesukaran buat Roma dan cukup berpengalaman mengatasi suasana sukar di stadium.

“Sergio amat sukar untuk digantikan, tapi kami masih mampu mengancam. Dengan pemain yang kami ada, saya tidak bimbang,” ujar Milner semalam.

“Kami akan ke sana untuk menang. Ia tidak mudah kerana Roma pasukan yang bagus dan saya pasti suasana tentu hebat.

“Saya pernah bermain di Itali sebelum ini bersama City dan England dan anda berdepan suasana sukar. Anda lihat pengalaman yang kami miliki dalam skuad ini dan suasana sukar itu pasti mampu ditangani.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:49 AM