MAYAT remaja warga Arab Saudi,Alahmadi Hussain Fuada, 19, ditemui pasukan scuba bomba di Tasik Dayang Bunting, Langkawi, petang ini. FOTO ihsan bomba
MAYAT remaja warga Arab Saudi,Alahmadi Hussain Fuada, 19, ditemui pasukan scuba bomba di Tasik Dayang Bunting, Langkawi, petang ini. FOTO ihsan bomba
Hamzah Osman


Langkawi: Percutian sebuah keluarga dari Arab Saudi berakhir tragedi apabila seorang ahli keluarga mereka ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting , dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Alahmadi Hussain Fuada, 19, warga Arab Saudi dikatakan tergelincir dan terjatuh ke dalam air sedalam 30 meter dari pelantar terapung di tasik itu dan lemas.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yaakob Hassan berkata, remaja lelaki itu tiba bersama ahli keluarganya di tasik itu untuk mandi manda.

Beliau berkata, sebaik tiba di tasik itu keluarga itu dikatakan bergurau senda di atas pelantar terbabit sebelum seorang daripada mereka tergelincir dan terjatuh ke dalam air.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 5.39 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan skuba bomba melakukan selaman dan menemui mayat mangsa pada kedalaman 30 meter sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa ditemui pada jam 7.15 malam dan operasi tamat pada jam 8.30 malam.

"Mayat kemudian dihantar oleh pihak polis ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 12:53 AM