Hamzah Osman


LELAKI ditemui lemas selepas tergelincir dan terjatuh ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa, Mohamad Aszuan Mohamad Nasir, 28, dari Felda Keratong, Pahang dilaporkan terjatuh di kawasan air terjun dan maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisham Ibrahim berkata, mangsa ditemui dalam air sebelum diangkat ke darat oleh orang awam.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.15 pagi sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

"Sejurus tiba, anggota bomba dimaklumkan seorang lelaki terjatuh ke kawasan air terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam dan dibawa naik ke darat," katanya ketika dihubungi.

Mohd Hisham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa turun dari kawasan air terjun ke parkir kenderaan pusat rekreasi itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada 10.57 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 2:08 PM