COLEMAN
COLEMAN
Reuters

Toulouse, Perancis: Jurulatih Wales Chris Coleman bersedia untuk melupakan kekecewaan lampau selepas pasukannya berjaya mara ke pusingan kalah mati Euro 2016 ketika beliau mengemudi pasukan kebangsaan mencapai kejayaan yang tidak mampu dilakukannya ketika bergelar pemain.

Coleman beraksi sebanyak 32 kali untuk Wales sebelum terpaksa bersara berikutan kecederaan yang dialami ketika terbabit dalam kemalangan kereta pada 2002 di usia 32 tahun.

Walaupun bermain dengan beberapa nama besar dalam pasukan Wales, bekas pertahanan dan rakan sepasukannya yang berbakat tidak pernah mara ke kejohanan utama.

Kini, selepas berjaya mengemudi Wales ke Euro 2016 dan membimbing mereka mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan B apabila menumpaskan Russia, Coleman akhirnya berjaya menikmati kejayaan yang tidak pernah dirasainya ketika aktif sebagai pemain.

“Ini adalah yang terbaik, saya rasa. Sebagai pemain saya menjadi sebahagian daripada pasukan yang memiliki pemain hebat, tapi kami terlepas beberapa peluang. Sekarang saya begitu bertuah untuk merasai pengalaman yang tidak pernah dikecapi semasa menjadi pemain,” kata Coleman selepas pasukannya menang 3-0 ke atas Russia di Toulouse.

Wales kini tidak mempunyai ramai bintang seperti generasi Coleman, dengan pemain yang berkualiti seperti Ryan Giggs, Ian Rush, Gary Speed, Mark Hughes dan Neville Southall, namun gagal untuk layak ke kejohanan utama.

Kecuali Gareth Bale, Wales hanya mempunyai pemain yang bercita-cita tinggi untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian terbaik mereka iaitu mara ke suku akhir Piala Dunia 1958.

Bale menjadi antara tujuh pemain di Euro menjaringkan gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan apabila dia menambah gol ketiga ketika bertemu Russia.

Dia juga pemain pertama sejak Milan Baros di Euro 2004, menjaringkan gol dalam semua tiga perlawanan pertama di Euro, seterusnya menjadi penjaring terbanyak negaranya dalam kejohanan utama.

“Pada masa sekarang, Bale beraksi dengan baik sekali. Saya boleh faham jika digelar pasukan yang mengharapkan seorang pemain jika anda mempunyai pemain sepertinya beraksi di Real Madrid.

“Dia sesuai beraksi dengan corak yang kami terapkan dan dia sangat menikmatinya. Dia seorang pemain hebat dan saya harus mengakuinya,” ujar Coleman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 8:36 AM