PESAWAT Rayani Air. FOTO arkib NSTP
PESAWAT Rayani Air. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memutuskan untuk membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan penuh terhadap pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat penerbangan itu dijalankan.

Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat penerbangan itu sudah diberikan peluang untuk membuat perwakilan ketika sesi siasatan yang diadakan pada 12 Mei lalu.

"Mengikut Peraturan 193, Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016, AOC Rayani Air bernombor 54 dibatalkan selepas perbincangan menyeluruh mengenai maklum balas syarikat penerbangan itu terhadap sesi siasatan.

"Sehubungan itu, Rayani Air perlu memulangkan AOC kepada Ketua Pengarah DCA dalam tempoh 14 hari dari tempoh notis pembatalan,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, DCA dan Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung perkara ini, memandangkan keselamatan industri penerbangan adalah sangat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 1:54 PM