Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi di Liga Jerman (Bundesliga) selama 10 tahun memudahkan Giovane Elber (gambar) membuat telahan mengenai kemampuan skuad Jerman untuk cemerlang pada saingan Euro 2016 yang akan bermula Jumaat depan.

Menurut bekas bintang Bayern Munich itu, Jerman ternyata mempunyai peluang untuk menyinar dan menamatkan kemarau 20 tahun muncul juara selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 1996.

“Pemain pasukan ini sudah lama beraksi bersama, saya rasa dalam tempoh enam tahun mereka membentuk gandingan mantap. Mereka sudah mengetahui corak antara satu sama lain dengan baik sekali,” katanya ketika ditemui di sidang media yang menyaksikan Elber menjadi Duta Kem Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) semalam.

Jelasnya, walaupun pemain dalam skuad Jerman rata-rata dari kelab berlainan termasuk Bayern Munich dan Borussia Dortmund namun corak permainan kesemua pemain tidak banyak beza antara satu sama lain.

“Sistem dan corak permainan mereka hampir sama, jadi mudah untuk membentuk permainan mantap. Sehubungan itu, saya rasa mereka mempunyai peluang menang kejohanan ini walaupun ada pasukan lain yang perlu diberi perhatian.

“Antaranya Perancis (tuan rumah) dan Belgium. Mereka juga mempunyai peluang muncul juara,” katanya yang pernah mewakili Brazil 15 kali dan menjaringkan tujuh gol.

Jerman yang dibimbing Joachim Loew diundi dalam Kumpulan C bersama Ukraine, Poland dan Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:06 AM