LORENZO (kanan) rampas kedudukan Rossi.
LORENZO (kanan) rampas kedudukan Rossi.
AFP

Mugello, Itali: Jorge Lorenzo memintas Marc Marquez pada saat akhir untuk menjuarai MotoGP Itali semalam sementara penunggang pilihan tuan rumah Valentino Rossi terpaksa menarik diri berikutan masalah mekanikal.

Pelumba Sepanyol Lorenzo merampas kedudukan pendahulu daripada Rossi pada selekoh pertama namun juara dunia sembilan kali Rossi terpaksa menamatkan saingan lebih awal selepas motosikalnya berdepan masalah biarpun dilihat berpeluang menjuarai perlumbaan itu.

Sebaliknya, giliran Marquez memberi tekanan terhadap juara dunia Lorenzo dan merampas kedudukan pendahulu daripada rakan senegara pada pusingan terakhir hinggalah pelumba Yamaha itu meraih kemenangan beberapa meter sebelum garis penamat.

Selepas seminggu yang menyaksikan beberapa pelumba bertukar pasukan musim depan, pelumba Ducati Andrea Iannone melalui permulaan buruk buat pasukan tuan rumah.

Dia dan rakan sepasukan hanya menamatkan dua perlumbaan sebelum minggu ini dan kedua-duanya gagal mencabar kedudukan pendahulu di Litar Mugello.

Ini bermakna pasukan tuan rumah terpaksa berharap kepada Rossi, 37, namun semuanya tidak kesampaian ketika perlumbaan berbaki 13 daripada 23 pusingan.

Pendahulu kejuaraan Lorenzo memanfaatkan peluang untuk menjulang gelaran ketiga musim ini dan kedua berturut-turut, melebarkan penguasaannya dalam kedudukan pendahulu terhadap pelumba Honda, Marquez kepada 10 mata.

“Kelajuannya tidak begitu pantas jadi saya tidak boleh melepaskan diri seperti yang saya inginkan,” kata Lorenzo.

“Saya menggunakan banyak tenaga untuk terus mendahului perlumbaan dan saya terfikir Marquez mempunyai lebih banyak tenaga apabila dia memintas saya jadi saya hanya mahu kekal di tangga kedua dan mengutip mata.

“Saya mencuba tindakan gila dan motosikal saya agak pantas jadi saya boleh merampas kemenangan daripada Marquez dan menjuarai kemenangan yang tidak diduga ini.”

Iannone yang mengesahkan akan menyertai Suzuki tahun depan selepas Ducati memilih Dovizioso untuk digandingkan dengan Lorenzo terus berjuang untuk menamatkan perlumbaan di podium.

“Saya agak kecewa. Klac tergelincir dan tunggangan motosikal bermula dengan wheelie,” kata Iannone.

“Kedudukan podium di Itali sudah cukup bagus tapi saya mempunyai potensi untuk merebut kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:50 AM