GAYA baharu.
GAYA baharu.
Erywan Norshal


Sime Darby Performance Auto (SDAP), pengimport kenderaan berprestasi jenama Porsche menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang dipertingkatkan menerusi model Porsche Macan.

Perubahan pada Porsche Macan bagi varian ‘entry-level’ itu menawarkan enjin 2.0 liter pengecas turbo lebih berkuasa yang khusus untuk kereta sport bagi segmen SUV.

Porsche Macan dipertingkat hadir selepas dua tahun memasuki pasaran tempatan sebagai kenderaan segmen kategori terbaru keluarga Porsche dan boleh dipanggil ‘adik’ kepada Porsche Cayenne.

Difahamkan, ia berkongsi platform Audi Q5, tetapi tampak lebih padat dan bergaya selain dilengkapi ciri mewah dengan sentuhan istimewa jurutera daripada Porsche.

Namanya juga unik kerana difahamkan, ia diambil dalam bahasa Jawa bermaksud ‘harimau’, sekali gus memberi impak dalam penampilan imejnya yang tampak garang.

Bagaimanapun, bagi model berkenaan ia hadir dengan rangkaian kuasa yang menyalurkan 252 kuasa kuda (hp), iaitu lebih 15hp berbanding enjin terdahulu, selain dipadankan transmisi automatik tujuh kelajuan Porsche Doppelkupplung (PDK).

Hasilnya, Porsche Macan mampu memecut antara 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam 6.7 saat, manakala 6.5 saat sekiranya menggunakan Pakej Sport Chrono dengan kelajuan maksimum sehingga 229 km/j.

Ini bermakna, ia lebih pantas 0.2 saat untuk memecut antara 0-100km/j malah mencatatkan kelajuan maksimum hanya 223km/j bagi rangkaian kuasa terdahulu.

SUV seberat 1,770 kilogram yang dinobatkan paling ringan dalam keluarga Porsche itu turut didatangkan dengan ciri baharu membabitkan lampu LED siang ‘four-point’ pada bampar hadapan. Pada masa sama, ia hadir perumah lampu LED dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS) sebagai ciri pilihan.

Banyak ciri standard baharu dilengkapi pada model Porsche Macan seperti varian lebih tinggi iaitu Macan S di mana dipadankan kerusi pelarasan elektrik 14 hala sebagai pilihan, sistem amaran lorong-pelepas serta generasi baharu Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM).

PCM hadir sebagai ciri standard baharu bagi semua Macan di mana ia menggunakan skrin sesentuh resolusi tinggi yang mesra pengguna untuk sambungan dengan telefon pintar. Ia juga boleh disambung dengan telefon pintar iPhone untuk menggunakan aplikasi Apple CarPlay.

Bagaimanapun, harga anggaran bagi Porsche Macan dipertingkatkan itu dijual pada RM435,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:03 AM