Petaling Jaya: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) yakin mampu menarik penyertaan 30 peratus keahlian baru bagi Tesco Club Card yang dilengkapi dengan ciri Touch n Go dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata 70 peratus daripada 1.7 juta ahli aktif Tesco Club Card sedia ada pula disasarkan untuk bertukar kepada Tesco Club Card baru itu dalam tempoh masa sama bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati tawaran ganjaran lebih baik.

“Kami berharap pengenalan Club Card baru yang dipertingkatkan ini menarik lebih banyak penyertaan daripada pelanggan di mana Tesco Club Card sudah mengeluarkan nilai baucar lebih daripada RM130.8 juta kepada ahli sejak diperkenalkan pada 2007,” katanya pada majlis pelancaran Tesco Club Card baru di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Touch n Go Sdn Bhd, Abdul Karim Md Lassim.

Untuk peringkat awal, 23 cawangan Tesco Malaysia menawarkan perkhidmatan Touch n Go iaitu isi semula dan pembayaran manakala perkhidmatan tanpa yuran nilai tambah diluaskan secara berperingkat melalui 51 cawangan Tesco di seluruh negara.

Sementara itu, Abdul Karim berkata pihaknya berhasrat untuk meluaskan penggunaan kad pembayaran elektronik itu kepada 1,000 peruncit tahun depan berbanding 50 peruncit ketika ini.

Menurutnya, peningkatan jumlah peruncit itu dijangka mewujudkan lebih banyak terminal Touch n Go iaitu 3,000 terminal pada 2015 berbanding 500 terminal pada ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:03 AM