KASUT wedges pelbagai warna lembut memikat pembeli.
KASUT wedges pelbagai warna lembut memikat pembeli.
Oleh Zaitie Satibi


Ramai wanita berminat memakai kasut bertumit tinggi seperti stiletto tetapi takut membelinya kerana bimbang tubuh tidak seimbang menyebabkan jatuh terpelecok.

Sesuai dengan kehendak penggemar kasut, The Geroboc memperkenalkan himpunan kasut baji atau wedges de­ngan tapak tinggi tetapi rata, sekali gus memberi perjalanan pemakainya lebih selesa berbanding memakai kasut tumit tinggi dengan tapak tiang.

Pengasasnya, Fairul Hafizi Ariffin, 25, berkata, sebelum memulakan perniagaan menjual kasut itu, dia melakukan kajian mengenai jenis kasut yang menjadi kegemaran pembeli.

"Saya dan rakan mengunjungi pusat beli-belah sekitar ibu negara dan meninjau aliran fesyen terkini kasut wanita. Kajian juga dilakukan dengan melayari laman web kasut luar negara dengan melihat bentuk kasut yang mungkin belum ada di pasaran negara ini.

"Selepas memperoleh hasil kajian, saya tidak teragak-agak mencuba nasib sebagai usahawan dengan menjual kasut wanita de­ngan jenama The Geroboc. Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM5,000 saya membeli kira-kira 700 pasang kasut dan menjualnya melalui laman Instagram," katanya.

Himpunan kasut wedges The Geroboc bukan saja selesa kerana mempunyai tumit penuh yang boleh menampung berat badan, malah dijual dengan pelbagai warna mengikut citarasa pembeli.

Ada juga kasut wedges ditampilkan dengan dua warna ia­itu putih dan gelap supaya boleh disesuaikan dengan pelbagai warna pakaian. Jenis wedges lain seperti bertali belakang, terbuka di depan dan tanpa tali.

Pembeli yang masih belajar pakai kasut bertumit boleh cuba pakai kasut wedges dulu untuk kestabilan tubuh kerana tapak­nya yang tebal dan rata menyokong kaki supaya lebih selesa sewaktu melangkah dan berdiri.

Fairul Hafizi bakal menyertai himpunan 400 usahawan dalam talian, Vendeur Festival 3.0 Boxing Day pada 27 dan 28 Disember depan di Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:00 AM